Dapatkan segera info rasmi yang lengkap di sistemguruonline.my ⏬️

Himpunan Soal Jawab Qurban Sempena Hari Raya Aidiladha

Himpunan Soal Jawab Qurban Sempena Hari Raya Aidiladha
Soal Jawab Qurban

Bagi menjawab persoalan berkaitan dengan hari raya Qurban, kami telah menyusun beberapa soal jawab Qurban untuk memberi jawapan kepada persoalan-persoalan yang timbul. Penting bagi umat islam mengetahui hukum dan soal jawab Qurban kerana ia adalah termasuk dengan hukum harus, wajib, makhruh dan haram dalam beberapa perkara.

Berikut adalah merupakan soal jawab qurban yang sering ditanya berkenaan dengan hukum dan persoalan yang memerlukan jawapan.

Senarai Soal Jawab Qurban yang Anda Perlu Tahu

Berikut adalah beberapa soal jawab qurban yang berkait dengan soalan lazim dan semasa perlu anda tahu:

Ada berapa jenis ibadah korban?

Jenis ibadah korban ada dua. Berikut adalah dua jenis ibadah korban:

  • Korban sunat adalah menyembelih binatang ternakan yang tertentu berniat taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah S.W.T. pada Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Haji.
  • Korban nazar adalah apabila seseorang itu bernazar untuk menyembelih korban, maka adalah wajib atasnya menunaikan nazarnya itu.

Apa itu korban nazar?

apa itu korban nazar
Soal Jawab Qurban Soal Jawab Qurban Soal Jawab Qurban Soal Jawab Qurban

Korban nazar adalah apabila seseorang itu menetapkan melalui kata-kata bahawa jika dia mendapat apa yang dihajatinya dia akan menyembelih haiwan korban, maka hukum wajib baginya menunaikan nazarnya itu.

Bahkan menurut Imam Nawawi, beliau menyatakan bahawa apabila telah terlewat hari yang ditentukan bagi penyembelihan korban dan ternyata saudara terlupa untuk menyembelih korban yang dinazarkan itu, maka hukumnya wajib untuk orang yang bernazar tadi menyembelihnya ketika dia teringat, walaupun telah berlalu waktunya.

Apakah hukum ibadah korban?

Korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada hari yang ke 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Hukum menyembelih haiwan korban pada Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Korban ke atas umat Islam yang mempunyai kemampuan ialah sunat muakkad dan meninggalkannya adalah makruh. Seperti mana Allah S.W.T berfirman:

“Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah”. – Surah al-Kautsar, ayat 2. Berdasarkan tafsiran ulama maksud solat atau sembahyang pada ayat ini ialah solat Aidil Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah ibadah korban.

Apakah dalil ibadah korban?

Himpunan Soal Jawab Qurban Sempena Hari Raya Aidiladha 1
Soal Jawab Qurban

Dalil pensyariatan ibadah korban ialah firman Allah S.W.T :

“Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah”. – Surah al-Kautsar, ayat 2. Imam Ibnu Jarir mentafsirkan ayat tersebut seperti berikut:

“Jadikanlah solatmu ikhlas hanya kepada Allah semata dengan sama sekali tidak mengharapkan kepada selain daripada-Nya. Demikian juga korban yang kamu tunaikan, niatkanlah hanya untuk Allah, tidak untuk berhala, sebagai tanda syukur terhadap apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu yang tidak terhingga banyaknya”.

Hukum niatkan korban bagi ibu bapa yang telah meninggal dunia?

Permasalahan berkenaan korban buat si mati adalah permasalahan khilaf oleh para fuqaha’. Berikut adalah beberapa pendapat ulamak:

  • Pendapat Pertama: Dibolehkan untuk melakukan korban buat si mati dan sampai pahalanya juga buat si mati. Pendapat jumhur ahli ilmu yang merangkumi al-Hanafiyah, al-Malikiyyah, al-Hanabilah dan sebahagian al-Syafi’ieyyah.
  • Pendapat Kedua: Hukum makhruh melakukan korban buat si mati. Pendapat dari al-Malikiyyah. Al-Kharshi Rahimahullah menyebutkan: “Dimakruhkan bagi seseorang melakukan korban buat si mati kerana takut akan riak dan bermegah-megah dan juga tidak warid perbuatan dalam perkara itu, dan ini sekiranya tidak disediakan oleh si mati dan sekiranya tidak maka si waris boleh melakukannya”. [Lihat Syarh Mukhtasar al-Khalil, 3/42]
  • Pendapat Ketiga: Tidak boleh melakukan korban buat si mati melainkan ianya telah diwasiatkan oleh si mati sebelum kematiannya. Pendapat al-Syafi’ieyyah yang mana al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan: “Dan tidaklah disembelih bagi orang lain melainkan mendapat izin daripadanya dan tidak juga daripada yang mati melainkan ianya telah diwasiatkan.” [Lihat Minhaj al-Tolibin wa ‘Umdah al-Muftin fi al-Fiqh. Dar al-Fikr, hlm. 321]

Walaupun permasalahan ini menjadi khilaf dikalangan ulama, Pihak mufti Wilayah cenderung dengan pendapat yang ketiga iaitu pendapat dari kebanyakan Syafi’eyyah iaitu mesti adanya wasiat dari si mati untuk melakukan korban buat simati.

Adakah wajib menyembelih sendiri haiwan korbannya?

Soal jawab qurban, Hukum sunat bagi lelaki yang hendak berkorban itu menyembelih sendiri haiwan korban tersebut dengan tangannya, jika mempunyai kemampuan.

Jika tidak mampu, maka boleh wakilkan kepada orang lain, kerana “Nabi S.A.W telah berkorban dengan 100 ekor unta, 63 ekor daripadanya Baginda sendiri menyembelihnya dan 37 ekor lagi diserahkannya kepada Saidina Ali bin Abi Talib untuk disembelihkan.” Hadis riwayat Ahmad dan Muslim.

Hukum mewakilkan orang lain menyembelih haiwan korban bagi pihaknya?

Hukum asal bagi penyembelihan binatang korban itu adalah sunat dilakukan sendiri oleh orang yang berkorban. Sekiranya orang yang tidak mampu melaksanakannya adalah lebih afdhal mewakilkan kepada orang lain bagi menyembelih binatang korbannya untuk pihak dirinya.

Apa hukum makan daging korban nazar?

Sekiranya korban yang dilakukan atas niat menunaikan nazar , maka daging korban tersebut adalah tidak boleh dimakan oleh orang yang telah berkorban. Semua daging korban tersebut hendaklah disedekahkan kepada mereka yang berhak menerimanya.

Apa hukum makan daging haiwan korban kita sendiri?

Hukum makan daging korban sendiri adalah harus oleh agama untuk memakan sebahagian daripada daging haiwan korban yang kita lakukan. Menurut sebuah hadis, Rasulullah S.A.W. bersabda; “Makanlah, buatlah jamuan untuk orang makan dan simpanlah sebahagian daging korban kamu.” Mengikut pendapat ulama, kita dibolehkan memakan sepertiga daripada daging korban tersebut.

Apa hukum menjual daging korban?

Hakikat dan tujuan korban adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T melalui ibadah korban dengan mengorbankan sesuatu bagi dirasai oleh orang lain, bukan mengorbankan sesuatu untuk kepentingan diri sendiri.

Oleh itu, menjual daging korban amat bertentangan dengan tujuan dan matlamat yang digariskan. Oleh itu, menjual daging haiwan korban adalah tidak dibolehkan. Seorang yang berkorban adalah digalakkan memakan sebahagian daripada daging korban tersebut bagi mengambil keberkatan daripada ibadah korban tersebut.

Bolehkah kita menjual kulit haiwan korban?

Berdasarkan Mazhab Syafi’e, tidak dibenarkan untuk menjual dan mengambil daripada bahagian korban itu sebagai upah sama ada korban wajib atau sunat. Tetapi dibenarkan bagi golongan fakir untuk menjual bahagian korban yang diterimanya seperti kulit bagi mendapat manfaat daripadanya.

Apa huku berikan daging korban atau kulit haiwan korban sebagai upah kepada tukang sembelih?

Tidak dibenarkan kita membayar upah kepada tukang sembelih haiwan korban dengan daging mahupun kulit haiwan korban tersebut. Maka seseorang perlu membayar upah tersebut daripada sumber lain yang dimiliki. Ini adalah berdasarkan dengan hadis Nabi S.A.W. dari Saidina Ali R.A.; “Kami memberikan upah kepada orang yang menyembelih haiwan tersebut dari bahagian yang ada pada kami.” Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Bagaimana cara untuk mengagihkan daging korban?

Himpunan Soal Jawab Qurban Sempena Hari Raya Aidiladha 2
Soal Jawab Qurban

Untuk pengagihan daging korban, golongan yang paling diutamakan ialah:

  • Fakir miskin daripada kalangan keluarga terdekat,
  • Kemudian fakir miskin dari kalangan jiran tetangga.

Tidak boleh diberikan kepada fakir miskin yang tidak beragama Islam. Namun, kita disunatkan memakan dari haiwan korban tersebut, kerana menurut riwayat Al-Baihaqi, “Rasulullah S.A.W memakan dari korbannya.” Dan Allah S.W.T juga menyuruh orang yang berkorban memakan sedikit daripadanya, sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah al-Hajj, ayat 28; Maksud ayat “Maka makanlah olehmu sebahagian daripadanya dan sebahagian lagi berikanlah untuk dimakan oleh orang-orang yang sengsara lagi fakir.”

Apa hukum berikan daging korban kepada orang kafir?

Hukum pemberian daging korban tatawwu” adalah sunat dimakan oleh orang yang berkorban, diberi hadiah dan disedekahkan kepada fakir miskin. Adapun untuk orang kafir di Malaysia maka hukumnya adalah harus akan namun keutamaan adalah kepada golongan miskin di kalangan orang Islam

Apakah hukum jemput orang kafir untuk makan daging korban yang telah dimasak?

Seperti mana kita dibenarkan memberikan daging korban sunat kepada orang bukan Islam berdasarkan kepada pandangan mazhab Hanbali, Oleh itu hukum menjemput mereka makan daging sembelihan korban sunat adalah dibolehkan asalkan ia mempunyai niat yang baik dan tidak bertentangan dengan tujuan dan matlamat murni korban itu sendiri, dan juga dengan syaratnya ialah bukan daripada daging korban wajib.

Apa hukum mengambil 1 atau 2 bahagian di dalam seekor lembu korban dengan niat ingin mendapat daging sahaja?

Ibadah korban hanya tercapai dengan selesainya penyembelihan haiwan korban tertentu, pada hari-hari tertentu, dengan berlakunya tumpahan darah dari haiwan yang disembelih, maka terlaksanalah ibadah korban.

Oleh itu, sembelihan mestilah berlaku dengan niat yang satu iaitu korban. Namun, ada pendapat di dalam mazhab Syafie yang mengatakan bahawa berkongsi bahagian dalam seekor lembu korban dengan niat yang berbeza adalah dibenarkan, dan setiap orang mendapat hak masing-masing.

Dengan soal jawab qurban ini diharapkan ia dapat membantu menjawab segala persoalan berkaitan dengan ibadah sembelihan korban dan lain-lain perkara yang berkaitan.

TINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Cikgu Ahmad
Cikgu Ahmad
"It always seems impossible until it's done."

Anda Mungkin Meminati